1937–1941: Zaman Keemasan Animasi Walt_Disney

Filem cetera animasi terulung

Walt Disney memperkenalkan watak-watak Seven Dwarfs dalam treler filem Snow White (1937).

Setelah terhasilnya dua siri kartun, Disney terus memulakan perancangan untuk filem cetera yang cukup panjangnya pada tahun 1934. Pada 1935, tinjauan pendapat mendapati bahawa siri Popeye the Sailor hasil Max Fleischer, mengatasi populariti Mickey Mouse.[54] Walau apapun, Disney kemudian berjaya meletakkan Mickey di hadapan semula dengan mewarnai dan mereka semula penampilan watak tikus tersebut kepada apa yang disifatkan sebagai wajah Mickey yang paling menawan sehingga kini.[35] Setelah para penggiat industri perfileman mengetahui rancangan Disney untuk mengadaptasi cerita dongeng Putih Salju dalam filem cetera animasi, mereka semua mentertawakan rancangan Disney sebagai "Disney's Folly" (Kebodohan Disney) kerana terlalu yakin bahawa projek sebegini akan meranapkan perniagaan Disney. Lillian dan Roy juga memujuk Disney agar melupakan hasrat itu, namun Disney tetap ingin mengusahakan filem cetera animasi itu. Beliau mengambil khidmat Profesor Don Graham dari Institut Seni Chouinard untuk memulakan latihan untuk kakitangan studio, berlandaskan Silly Symphonies sebagai platform untuk menguji animasi manusia realistik, animasi watak tersendiri, kesan khas, dan penggunaan proses-proses dan peralatan khusus seperti kamera berbilang satah. Pertama kali Disney menggunakan teknik kamera berbilang satah adalah untuk filem pendek dalam siri Silly Symphonies yang berjudul The Old Mill (1937).[55]

Segala usaha pembangunan dan latihan ini digunakan untuk menilai mutu studio agar mampu memberikan mutu yang dikehendaki oleh Disney kepada filem ceteranya kelak. Filem yang berjudul Snow White and the Seven Dwarfs diterbitkan dari tahun 1934 hingga pertengahan tahun 1937, apabila studionya kehabisan dana. Untuk mendapatkan pembiayaan untuk menyiapkan filem Snow White, Disney terpaksa menunjukkan sedikit sedutan filem tersebut kepada pegawai pinjaman di Bank of America, lalu berjaya mendapatkan wang yang diperlukannya. Selepas disiapkan, filem tersebut diadakan tayangan perdana di pawagam Carthay Circle Theater pada 21 Disember 1937; pada akhir filem, para penonton berdiri sambil memberikan tepuk sanjungan kepada Snow White and the Seven Dwarfs. Snow White, filem animasi buatan Amerika Syarikat dan Technicolor yang pertama, dikeluarkan pada Februari 1938 setelah tercapainya urus janji pengedaran baru dengan RKO Radio Pictures; RKO pernah menjadi pengedar kartun-kartun Disney pada tahun 1936, setelah menutup Van Beuren Studios untuk beralih ke perniagaan pengedaran filem.[56] Filem ini menjadi filem wayang yang paling berjaya sepanjang tahun 1938 setelah memperoleh lebih $8 juta dalam tayangan pertamanya.

Zaman Keemasan Animasi

Kejayaan filem Snow White, (yang mengurniakan lapan anugerah Oscar kepada Disney, termasuk satu patung besar dan selebihnya patung kecil) memangkinkan Disney untuk membina kampus baru Walt Disney Studios di Burbank, yang memulakan perniagaan pada 24 Disember 1939. Snow White bukan sahaja menandakan kemuncak kejayaan Disney, bahkan juga memulakan zaman yang dikenali sebagai Zaman Keemasan Animasi bagi Disney.[57][58] Seluruh kakitangan animasi cetera, setelah baru menyiapkan filem Pinocchio, menyambungkan usaha filem Fantasia dan Bambi serta peringkat awal penerbitan Alice in Wonderland dan Peter Pan, manakala kakitangan filem pendek meneruskan usaha siri kartun Mickey Mouse, Donald Duck, Goofy, dan Pluto, sambil mengakhiri siri Silly Symphonies ketika ini. Juruanimasi Fred Moore mereka semula wajah Mickey Mouse pada akhir 1930-an, ketika Donald Duck semakin popular di kalangan penonton wayang berbanding Mickey Mouse.[59]

Filem-filem Pinocchio dan Fantasia mengikut jejak Snow White and the Seven Dwarfs ke pawagam pada tahun 1940, tetapi kedua-duanya kurang lumayan jadinya. Filem Dumbo yang tidak seberapa mahal pula dirancangkan sebagai penjana pendapatan, tetapi ketika filem ini dihasilkan, kebanyakan juruanimasi studio bermogok, lantas menegangkan hubungan antara Disney dan para artisnya untuk jangka masa yang lama.

Rujukan

WikiPedia: Walt_Disney http://www.mbam.qc.ca/disney/index_en.html http://www.allacademic.com/meta/p114070_index.html http://www.anaheimwalkofstars.com/index.php http://www.animationusa.com/resources/aboutdisney.... http://www.animationusa.com/resources/aboutwb.html http://www.awn.com/mag/issue2.4/AWNMag2.4.pdf http://www.bcdb.com/bcdb/cartoon.cgi?film=15&m=r http://www.britannica.com/eb/article-9096160/Donal... http://www.britannica.com/eb/article-9106382/Fleis... http://www.findagrave.com/cgi-bin/fg.cgi?page=gr&G...